KAMPUNG KRAFTANGAN
Kampung Kraftangan Kelantan juga dikenali sebagai "Balai Getam Guri", Kampung Kraftangan dan Muzium Kraf ini terletak di zon Kebudayaan Kota Bharu, dalam jarak berjalan kaki dari Istana Balai Besar dan Bazar Buluh Kubu. Muzium Kraf menempatkan banyak hasil kerja tangan halus Kelantan.
ISTANA JAHAR
Muzium Adat Istiadat Diraja Kelantan atau lebih dikenali sebagai Istana Jahara yang berkedudukannya di kawasan pusat bandar dan ditengah-tengah rangkaian zon budaya menjadikan bagunan ini mercu tanda dan daya tarikan pelancong ke negeri Kelantan Darulnaim. Bangunan ini juga dikelilingi bangunan-bangunan lama dan bersejarah.
PASAR SITI KHADIJAH
Pasar ini mempunyai empat tingkat dan berbentuk heksagon (segi lapan). Tingkat bawah sekali dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, sayu-sayuran ayam dan sebagainya. Tingkat satu pula diperuntukkan kepada makanan kering seperti serunding yang merupakan sejenis makanan Kelantan yang sangat terkenal. Juga terdapat Ayam Percik, Ikan Percik, Nasi Krabu, Nasi berlauk, Nasi Dagang, dan Laksam yang merupakan makanan yang paling tersohor bagi rakyat negeri Kelantan. Terdapat juga peniaga yang menjual kuih tradisional Kelantan seperti tahi itik, akok, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita dan pelbagai lagi. Manakala tingkat 2 dan 3 adalah untuk barangan bukan makanan. Setiap pagi ia merupakan nadi penggerak utama aktiviti perniagaan bandar Kota Bharu. Kedudukannya yang strategik di pusat Bandar Kota Bharu memudahkan para pengunjung untuk bertandang.
WAKAF CHE YEH
Wakaf Che Yeh adalah sebuah pasar malam terbuka yang terletak kira-kira 4km di luar bandar Kota Bharu. Ia mempunyai keluasan suku ekar yang merupakan tempat untuk membeli makanan ringan, buah-buahan tempatan dan sayur-sayuran segar serta makanan laut. Tempat ini juga terdapat deretan warung peniaga yang menjual aneka pakaian lelaki dan wanita.
PANTAI SERI TUJUH
Pantai Seri Tujuh ini menghadap ke arah Laut China Selatan yang bersempadan dengan negara jiran iaitu Thailand. Terdapat juga beberapa teluk dan beting pasir boleh disaksikan di beberapa kawasan pantai dan menambahkan lagi keindahan landskap pantai ini. Suasana damai yang ada di sini mampu menenangkan fikiran dan sangat sesuai bagi mereka yang ingin lari daripada kesibukkan kota ataupun bebanan kerja.
PANTAI TOK BALI
Asal-usul nama Tok Bali yang kesahihannya tidak dipastikan adalah dikatakan berasal dari nama seorang nelayan dari Bali yang terdampar di persisiran pantai ini pada suatu ketika dahulu kerana perahunya karam. Nelayan itu tinggal di sini buat beberapa tahun sebelum pulang ke negeri asalnya.
Sekiranya anda datang ke Kota Bharu, masa yang diambil adalah 45 minit. Pantai ini merupakan tempat di mana para nelayan menurunkan ikan, sotong, dan udang yang segar. Untuk anda yang suka memancing, anda boleh menyewa bot persendirian sekiranya datang ke sini, dan dapatlah anda merasa pengalaman memancing di tengah laut. Jika anda tidak berani untuk memancing ke tengah laut, berkelah di tepi pantai pun sudah memadai untuk menikmati keindahan pantai ini.
MUZIUM PERANG BANK KERAPU
Muzium ini dibina pada tahun 1912 dan menjadi bangunan memorial mulai tahun 1992. Bangunan ini dipenuhi dengan artifak dan gambar-gambar untuk memperingati Peperangan Dunia Kedua yang mana peperangan ini telah memberi kesan yang besar kepada negeri Kelantan kerana di sinilah bermulanya Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu iaitu pada 8 Disember 1941 d Kuala Pak Amat Kota Bharu.
Pada asalnya, bangunan ini digunakan sebagai bank perdagangan dan digelar Kerapu disebabkan keadaan dindingnya yang menggerutu. Namun, semasa kedatangan Jepun pada tahun 1941 sehingga 1945, bangunan ini menjadi ibu pejabat kempetai Jepun dan selepas peperangan, bangunan ini diubah menjadi bank semula.
MASJID JUBLI PERAK SULTAN ISMAIL
Nama lain bagi masjid ini adalah Masjid Beijing kerana senibinanya yang menyerupai masjid bersejarah, Masjid Niujie yang terletaknya di Beijing, China yang berusia lebih daripada 1000 tahun. Bumbung masjid ini berbentuk melengkung dan menaranya pula seperti memiliki serban yang dililit dengan unik.
Masjid ini dibina pada tahun 2005 dan dirasmikan pada tahun 2009 dan mempunyai dua tingkat dengan tingkat yang pertamanya untuk kegunaan awam seperti dewan makan, klinik, dewan serbaguna dan perpustakaan masjid. Tingkat yang keduanya pula adalah ruangan sembahyang.
MASJID MUHAMMADI
Masjid yang begitu penting di Kelantan ini telah dibina pada tahun 1867 dengan hanya menggunakan kayu-kayu terbaik namun diubah kepada konkrit pada tahun 1922. Masjid Muhammadi ini dapat menampung 2400 orang jemaah pada satu-satu masa. Masjid ini dianggap masjid yang memainkan peranan yang sangat penting kerana disinilah tempat di mana ramai ulama-ulama besar Kelantan pernah mengajar seperti Haji Wan Ali Kutan, Tuan Taba dan Tok Kenali. Kerana kemahsyuran masjid ini sebagai tempat penyebaran ilmu agama di Nusantara, Kelantan mula terkenal sebagai Serambi Mekah.
LATA BERINGIN
Sebuah air terjun yang sangat indah di Kelantan dengan ketinggiannya sebanyak 120 meter, ia merupakan salah satu daripada air terjun yang tertinggi di Kelantan. Antara aktiviti yang boleh anda sekeluarga lakukan sekiranya datang ke sini adalah seperti jungle trekking, berkhemah, memancing, dan berkelah. Kalau anda sukakan fotografi juga, anda disyorkan untuk melawat air terjun ini kerana pemandangannya yang sangat menyejukkan mata.
No comments:
Post a Comment