TAMAN NEGARA KUALA KOH
Taman Negara Kuala Koh atau juga dikenali sebagai Taman Negara Kelantan merupakan pintu masuk di negeri Kelantan untuk ke Taman Negara Malaysia. Taman Negara Kuala Koh terletak di hujung ladang kelapa sawit. Kuala Koh agak unik jika hendak dibandingkan dengan Taman Negara Kuala Tahan, dan terletak bertentangan dengan Sungai Lebir dan Sungai Koh. Taman ini merupakan sebahagian daripada Taman Negara Semenanjung yang melipui 4343 km persegi di mana termasuk negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.
MASJID KAMPUNG LAUT
Masjid Kampung Laut adalah masjid bersejarah yang mempunyai struktur binaan yang unik. Masjid ini terletak di Nilam Puri dan telah dibina kira-kira 250 tahun dahulu oleh ulama-ulama dari Tanah Jawa. Masjid ini dibina di Kampung Laut, Tumpat berhampiran dengan tebing sungai Kelantan.
PANTAI CAHAYA BULAN
Pantai Cahaya Bulan merupakan salah satu pantai yang terkenal di Negeri Kelantan. Pantai ini terkenal kerana kawasannya panjang dan lebar dengan pasir yang cantik dan laut yang jernih. Deretan pokok ru dan pokok kelapa pula menambahkan lagi kecantikan pantai ini. Oleh itu, Pantai Cahaya Bulan telah menjadi tempat perkelahan yang popular di kalangan keluarga-keluarga tempatan khususnya pada hujung minggu. Selain itu, pantai ini lengkap dengan kemudahan untuk para pengunjung seperti terdapatnya pilihan hotel, chalet, kawasan perkhemahan, kedai makan dan gerai, dan tandas awam. Perjalanan ke pantai ini dari Kota Bharu akan membawa pengunjung melalui satu pekan Melayu tradisional. Ini adalah kawasan kraftangan yang penting di negeri untuk percetakan batik, penenunan songket dan pembuatan layang-layang serta loyang.
MUZIUM KRAFTANGAN
Koleksi Muzium Kraftangan Balai Getam Guri terletak dalam Kompleks Kampung Kraftangan. Bangunan ini juga terletaknya berhampiran dengan Pasar Buluh Kubu yang terkenal itu. Bangunan Muzium Kraftangan ini terletaknya di sebelah Jalan Hilir Kota iaitu bersebelahan dengan Istana Balai Besar, dan di hadapannya terletak Muzium Diraja Istana Batu manakala dibelakangnya terdapat stesen Bas Mini kepunyaan Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan SKMK.
PANTAI IRAMA
Pantai ini dianggap sebagai pantai yang tercantik di Kelantan kerana keindahan air lautnya yang jernih kebiruan. Diberikan nama Pantai Irama kerana bunyi tiupan angin yang menenangkan jiwa yang dihasilkan pantai ini. Untuk pengetahuan anda, pantai ini selalu dijadikan tempat keramaian untuk penduduk tempatan. Anda juga boleh bermain sukan air atau mengajak keluarga untuk beramai-ramai membuat bbq di sini.
PANTAI BISIKAN BAYU
Nama lain bagi pantai ini adalah Pantai Dalam Rhu, jarak antara pantai ini dari ibu negeri Kelantan, Kota Bharu adalah 50km. Di sepanjang ini terdapat pohon cemara yang apabila ditiup bayu pantai akan menghasilkan bunyi yang menenangkan perasaan. Dengan pemandangan yang indah sambil menikmati air kelapa yang segar, sememangnya akan membuatkan anda gembira.
Untuk aktiviti pula, jikalau anda menggemari aktiviti sukan ekstrem, pada musim-musim tertentu seperti musim Monsun Utara-Timur pada bulan November-April, anda boleh mengambil bahagian dalam aktiviti meluncur angin.
GELANGGANG SENI
Terdapat pelbagai aktiviti budaya yang dipamerkan di sini seperti wayang kulit, pembuatan wau, silat, permainan gasing, rebana dan lain-lain lagi. Apalah gunanya kalau datang bercuti ke Kelantan tanpa melihat sendiri kekayaan budaya tradisional Kelantan ini.
MUZIUM ISLAM
Muzium yang berbentuk seperti masjid ini terletak di ibu negeri Kelantan, Kota Bharu yang berdekatan dengan lokasi bersejarah iaitu, Bank Kerapu. Anda boleh membawa anak-anak ke sini untuk mempelajari lebih banyak lagi tentang asal-usul agam Islam di tanah Kelantan. Terdapat banyak dokumen-dokumen dan artifak-artifak yang bersejarah yang menjadi bukti pengaruh Islam sehinggakan Kelantan mendapat gelaran sebagai Serambi Mekah. Di muzium ini, anda dapat melihat pameran tentang tokoh-tokoh agama Islam, mufti-mufti negeri ini, seni-seni Islam dan lain-lain lagi.
KOTA SULTAN ISMAIL PETRA
Kota ini adalah tempat tarikan pelancongan yang terkenal di negeri Kelantan. Di sini merupakan tempat terletaknya monumen-monumen yang bersejarah seperti Istana Jahar, Bank Kerapu, Bank Pitis dan Istana Balai Besar. Anda boleh berjalan kaki untuk melawat tempat-tempat tersebut.
Sebaik anda memasuki ke Kota Sultan Ismail Petra, anda akan disambut oleh Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail Petra atau Menara Rehal yang menjadi lambang kemegahan ibu negeri Kelantan. Terdapat banyak lokasi menarik untuk dilawati di sekitar menara ini seperi Padang Merdeka, Istana Balai Besar dan Bank Pitis
MUZIUM DIRAJA ISTANA BATU
Muzium ini dibina pada tahun 1939 oleh Sultan Ismail I untuk dihadiahkan kepada anak saudaranya Yahya Petra sempena perkahwinannya dengan Raja Perempuan Zainab II. Muzium yang terletak tidak jauh dari Istana Balai Besar Kampung Kraftangan ini digunakan sebagai tempat bersemayah Sultan Yahya Petra sehingga tahun 1960. muzium ini juga merupakan destinasi yang perlu dilawati untuk mempelajari lebih banyak tentang keluarga diraja negeri Kelantan dan bagaimana suasana dalm istana yang pernah menjadi tempat kediaman kerabat diraja pada zaman dahulu.
No comments:
Post a Comment